UNDANG-UNDANG MALAYSIA
Akta 563
AKTA JENAYAH KOMPUTER 1997
____________________
SUSUNAN SEKSYEN
BAHAGIAN I
PERMULAAN
Seksyen
1. Tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa
2. Tafsiran
BAHAGIAN II
KESALAHAN
3. Capaian tanpa kuasa kepada bahan komputer
4. Capaian tanpa kuasa dengan niat untuk melakukan atau memudahkan berlakunya kesalahan lanjut
5. Pengubahsuaian tanpa kuasa kandungan mana-mana komputer
6. Komunikasi salah
7. Pensubahatan dan percubaan boleh dihukum sebagai kesalahan
8. Anggapan
BAHAGIAN III
PERUNTUKAN SAMPINGAN DAN AM
9. Skop wilayah kesalahan di bawah Akta ini
10. Kuasa penggeledahan, penyitaan dan penangkapan
11. Menghalang penggeledahan
12. Pendakwaan
UNDANG-UNDANG MALAYSIA
Akta 563
AKTA JENAYAH KOMPUTER 1997
Suatu Akta untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan berhubungan dengan penyalahgunaan komputer.
[1Jun 2000 P.U. (B) 175/2000]
MAKA INILAH DIPERBUAT UNDANG-UNDANG oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang bersidang dalam Parlimen, dan dengan kuasa daripadanya, seperti berikut:
BAHAGIAN I
PERMULAAN
Tajuk ringkas
1. (1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Jenayah Komputer 1997.
(2) Akta ini hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Perdana Menteri melalui
pemberitahuan dalam Warta.
Tafsiran
2. (1) Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain―
“program” ertinya data yang merupakan arahan atau penyataan, apabila dilakukan dalam suatu komputer, menyebabkan komputer itu melaksanakan suatu fungsi;
“data” ertinya representasi maklumat atau konsep yang disediakan atau telah disediakan dalam bentuk yang sesuai bagi kegunaan dalam suatu komputer;
“fungsi” termasuk logik, kawalan, aritmetik, hapusan, storan dan dapatan semula dan komunikasi atau telekomunikasi kepada, daripada atau dalam sesuatu komputer;
“komputer” ertinya suatu peranti elektronik, magnet, optik, elektrokimia, atau peranti pemprosesan data yang lain, atau sekumpulan peranti tersaling sambung atau yang berkaitan, yang melaksanakan fungsi logik, aritmetik, storan dan paparan, dan termasuk apa-apa kemudahan storan data atau kemudahan komunikasi yang berkaitan secara langsung dengan atau dikendali bersama dengan suatu peranti atau sekumpulan peranti tersaling sambung atau yang berkaitan, tetapi tidak termasuk suatu mesin taip atau mesin pengatur huruf berautomat, atau suatu mesin kira pegang tangan mudah alih atau peranti seumpama yang lain yang tidak boleh diprogram atau yang tidak mengandungi apa-apa kemudahan storan data;
“output komputer” atau “output” ertinya suatu penyataan atau representasi samada berbentuk tulisan, cetakan, bergambar, filem, grafik, akustik atau bentuk lain—
(a) dihasilkan oleh suatu komputer;
(b) dipapar di skrin suatu komputer; atau
(c) diterjemah dengan tepat daripada suatu penyataan atau representasi
yang dihasilkan itu;
“premis” termasuk tanah, bangunan, binaan boleh alih dan apa-apa pengangkutan melalui jalan darat, air dan udara;
“rangkaian komputer” ertinya saling sambungan talian komunikasi dan litar dengan suatu komputer atau suatu kompleks yang terdiri daripada dua atau lebih komputer yang tersaling sambung.
(2) Bagi maksud Akta ini, seseorang mendapat capaian kepada mana-mana aturcara atau data yang disimpan dalam komputer sekiranya, dengan menyebabkan komputer itu melaksanakan apa-apa fungsi, dia―
(a) mengubah atau memadamkan program atau data;
(b) menyalin atau mengalihnya ke mana-mana bahan tara storan selain daripada di mana ia disimpan atau ke tempat lain dalam bahan tara storan di mana ia disimpan;
(c) menggunakannya; atau
(d) menyebabkan ia dioutput daripada komputer di mana ia disimpan sama ada dengan mengakibatkan ia dipaparkan atau mengikut apa-apa cara lain,
kepada suatu niat untuk mendapat capaian sedemikian hendaklah ditafsirkan sewajarnya.
(3) Bagi maksud perenggan (2)(c), seseorang mengguna sesuatu program sekiranya fungsi yang dia menyebabkan komputer itu melaksana―
(a) menyebabkan program itu dilakukan; atau
(b) ia sendirinya adalah fungsi sesuatu program itu.
(4) Bagi maksud perenggan (2) (d), bentuk apa-apa program atau data dioutput dan khususnya samada ia merupakan suatu bentuk yang dalam hal suatu program, boleh dilaksanakan atau dalam hal data, boleh diproses oleh komputer atau tidak adalah tidak material.
(5) Bagi maksud Akta ini, capaian dalam apa-apa bentuk oleh mana-mana orang kepada apa-apa program atau data yang disimpan dalam komputer adalah tanpa kuasa sekiranya―
(a) dia sendiri tidak berhak untuk mengawal capaian dalam bentuk yang berkenaan kepada
program atau data itu; dan
(b) dia tidak mempunyai keizinan atau melebihi apa-apa hak atau kebenaran untuk mencapai
olehnya dalam bentuk yang berkenaan kepada program atau data itu daripada mana
mana orang yang berhak.
(6) Suatu rujukan dalam Akta ini kepada apa-apa program atau data yang disimpan dalam komputer termasuk rujukan kepada apa-apa program atau data yang disimpan dalam mana-mana bahan tara storan yang boleh tanggal yang sedang berada dalam komputer.
(7) Bagi maksud Akta ini, suatu pengubahsuaian kandungan mana-mana komputer berlaku sekiranya, dengan pengendalian apa-apa fungsi komputer yang berkenaan atau mana-mana komputer yang lain―
(a) apa-apa program atau data yang disimpan dalam komputer berkenaan diubah atau
dipadamkan;
(b) apa-apa program atau data dimasukkan atau ditambahkan kepada kandungannya;
atau
(c) apa-apa kejadian yang berlaku yang mencacatkan pengendalian normal mana-mana
komputer,
dan apa-apa perbuatan yang menyumbang kepada berlakunya suatu pengubahsuaian hendaklah disifatkan sebagai melakukannya.
(8) Apa-apa pengubahsuaian yang disebut dalam subseksyen (7) adalah tanpa kuasa sekiranya―
(a) orang yang perbuatannya menyebabkan begitu dengan sendirinya tidak berhak
untuk menentukan sama ada pengubahsuaian itu patut dibuat; dan
(b) dia tidak mendapat keizinan ke atas pengubahsuaian itu daripada mana-mana
orang yang berhak.
(9) Suatu rujukan dalam Akta ini kepada suatu program termasuklah rujukan kepada sebahagian daripada suatu program.
(10) Suatu rujukan dalam Akta ini kepada suatu komputer termasuklah rujukan kepada suatu rangkaian komputer.
BAHAGIAN II
KESALAHAN
Capaian tanpa kuasa kepada bahan komputer
3. (1) Seseorang adalah melakukan suatu kesalahan sekiranya―
(a) dia menyebabkan suatu komputer melaksanakan apa-apa fungsi dengan niat untuk
mendapat capaian kepada mana-mana program atau data yang disimpan dalam
mana-mana komputer;
(b) capaian yang dia berniat untuk mendapatkan adalah tanpa kuasa; dan
(c) dia tahu semasa dia menyebabkan komputer itu melaksanakan fungsi itu, demikian
berlakunya.
(2) Niat seseorang itu untuk melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen ini tidak perlu ditujukan kepada―
(a) mana-mana program atau data yang tertentu;
(b) suatu bentuk program atau data yang tertentu; atau
(c) suatu program atau data yang disimpan dalam mana-mana komputer yang tertentu.